KOTA KINABALU, 5 FEB – Sebanyak 98 daripada 108 projek yang dimohon Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah berjaya melepasi tapisan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Pengarah JPN Sabah Datuk Raisin Saidin berkata permohonan projek terutamanya melibatkan gantian sekolah daif itu telah dibentangkan di peringkat KPM pada Disember lepas.
“Projek yang berjaya melepasi tapisan akan dibentangkan pula kepada Kementerian Ekonomi Mei ini untuk kelulusan bajet yang akan diumumkan dalam pembentangan belanjawan negara dijangka pada Oktober,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu JPN Sabah di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa di sini hari ini.
Raisin berkata dalam RMK12, sebanyak 273 permohonan projek merangkumi pembinaan gantian sekolah daif, sekolah baharu, bangunan pejabat pendidikan daerah, bangunan tambahan dan perolehan tanah telah dikemukakan JPN Sabah.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 214 projek berjaya mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi dengan nilai projek yang diluluskan bagi setiap projek bernilai antara RM10 juta dan RM300 juta.
“Bagaimanapun dalam memastikan permohonan projek pembangunan itu berjalan lancar, terdapat beberapa kekangan isu yang perlu ditangani segera khususnya yang melibatkan status tapak tanah sekolah dan pengesahan keselamatan bangunan.
“Oleh itu, bagi memastikan usaha berterusan menangani isu sekolah daif di Sabah dalam jangka masa panjang dapat ditingkatkan, sinergi bersama pihak berkepentingan amat diperlukan,” katanya.
Raisin berkata JPN Sabah turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang memperuntukkan RM474.55 juta tahun lepas bagi meningkatkan tahap pendidikan di Sabah termasuk memperkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi demi memastikan setiap anak-anak mempunyai akses kepada pendidikan. – Bernama