Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Seramai 98 orang telah memeluk agama Islam dalam tempoh tiga bulan dari Januari hingga Mac 2020 di seluruh negara.
Menurut statistik Unit Pengislaman, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), daripada jumlah tersebut, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 53 orang.
Manakala Daerah Tutong pula mencatat 32 orang, Daerah Belait seramai 12 orang dan Daerah Temburong hanya mencatatkan seorang saudara baharu.
Sementara dari segi bangsa pula, bangsa Dusun merupakan bilangan tertinggi iaitu seramai 35 orang, diikuti Cina seramai 20 orang, Iban 15 orang dan Murut dua orang.
Manakala seorang bagi bangsa Bisaya dan warga Eropah, diikuti Filipina seramai 13 orang dan lain-lain bangsa seramai 11 orang.
Daripada jumlah itu juga, 63 orang yang memeluk agama Islam dalam tempoh tersebut terdiri daripada warga tempatan dan 35 lagi adalah warga asing. Jumlah tersebut juga menunjukkan 93 daripada mereka adalah golongan dewasa dan lima terdiri daripada kanak-kanak.