99.56% kes baharu di Sarawak kategori 1, 2

KUCHING, 31 OGOS – Kira-kira 99.56 peratus atau 2,275 kes daripada 2,285 kes jangkitan harian baharu COVID-19 yang dicatatkan di Sarawak hari ini adalah dalam kategori satu yang tidak bergejala dan kategori dua yang bergejala ringan.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini, dua kes adalah dalam kategori tiga (jangkitan paru-paru), empat kes kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) manakala empat kes kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

JPBN Sarawak memaklumkan terdapat dua kematian baharu direkodkan hari ini, masing-masing di Kuching dan Kapit menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu di Sarawak kini berjumlah 526 orang.

Menurut JPBN Sarawak antara kawasan yang mencatatkan kes yang tinggi hari ini adalah Kuching dengan 1,129 kes diikuti Bau (228), Serian (113) dan Lundu (93).

Dengan pertambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes positif di Sarawak kini mencecah 116,558. – Bernama