Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 54 orang pelajar persekolahan Arab diraikan dalam Majlis Penghargaan dan Kesyukuran Kejayaan Pelajar-pelajar Sekolah Arab bagi pertandingan-pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) Tahun 1447H / 2025M, anjuran Jabatan Pengajian Islam pagi tadi.
Majlis yang julung kalinya diadakan itu berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, sebagai tanda penghargaan atas usaha dan kejayaan para pelajar serta inisiatif pihak sekolah dalam menyertai pelbagai pertandingan bertemakan STEAM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Majlis berkenaan diadakan ke arah mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Shamsol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd Karim serta pegawai-pegawai kanan kementerian.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, diikuti ucapan oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil selaku pengerusi majlis.

Tayangan video penglibatan pelajar dalam pertandingan-pertandingan STEAM turut menyerikan majlis sebelum diteruskan dengan penyampaian Geran Pendidikan oleh Tetamu Kehormat Majlis, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Antara pencapaian membanggakan tahun ini ialah penglibatan dua pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan seorang pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dalam FIRST Global Robotics Challenge 2025 di Panama City, Panama, pada 27 Oktober hingga 2 November lalu.
Semua di atas: Antara pelajar yang diraikan.
Penglibatan tersebut melalui Program STEAM Adopt-a-School, Universiti Teknologi Brunei (UTB), yang memberikan pendedahan dan pengalaman berharga dalam bidang robotik dan inovasi teknologi, selain memperluaskan jaringan kerjasama dengan peserta antarabangsa.


Penganjuran majlis ini menjadi platform pengiktirafan kepada usaha gigih para pelajar serta menyemai budaya kecemerlangan, inovasi dan daya saing dalam kalangan mereka, di samping menunjukkan sokongan berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkasa pendidikan berteraskan STEAM di persekolahan Arab di negara ini.
