Saturday, March 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    A. Aida kagum dengan Ismail Izzani

    Penerbit A.Aida memuji kecekapan pelakon Ismail Izzani (gambar) mempelajari bahasa isyarat untuk watak terbaharunya menerusi drama Bukan Hanya Sekadar Cinta yang sedang dalam proses penggambaran.

    A. Aida atau Zaidah Awang, 52, berkata, walaupun diberi tugasan belajar dalam masa singkat namun Ismail, 22, berjaya membuktikan diri berjaya melakukannya dengan baik.

    “Saya memang puji lakonan Mael (Ismail) berbahasa isyarat kerana dia dapat belajar dengan cepat. Mungkin juga kerana usianya yang masih muda membuatkan otaknya cepat tangkap.

    “Dalam drama ini, Mael bukanlah seorang yang bisu, tetapi dia terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan ibunya yang sudah tidak lagi boleh bertutur,” katanya ketika dihubungi wartawan.

    Dalam pada itu, A. Aida memberitahu pihak produksi mengupah seorang guru jurubahasa isyarat bertauliah untuk memberi tunjuk ajar kepada Ismail di set penggambaran drama tersebut.

    Menerusi adaptasi novel 28 episod itu, Ismail dan pelakon Dian P. Ramlee perlu mempelajari bahasa isyarat bagi mendalami watak mereka dengan baik.

    “Setiap hari satu jam sebelum bermula penggambaran, Mael dan Dian akan diajar oleh seorang jurubahasa isyarat.

    “Bayangkan setiap babak yang memerlukan mereka berbahasa isyarat, dengan hanya satu jam sahaja pelakon-pelakon saya dapat memainkan watak mereka dengan berkesan,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda