Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Awang A. Hamidun bin Mohd Daud secara rasminya menjadi ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Sungai Buloh (Bukit Sibanging), Mukim Mentiri dengan penyampaian sijil lantikan pada majlis yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Mentiri, RPN Kampung Mentiri, hari ini.
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil lantikan itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan. Awang Abdul Walid dalam ucapannya menyatakan harapan agar Awang A. Hamidun akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan berkesan di samping menghayati sedalamnya sebagai satu amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mempunyai peranan, bidang tugas dan tanggungjawab yang amat besar dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan penduduk.
“Ini khususnya bagi penduduk di STKRJ Sungai Buloh (Bukit Sibanging) di samping membantu kerajaan dalam usaha membangun negara ini,” tambahnya. Selain itu, beliau turut berharap penduduk di kampung berkenaan akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada Awang A. Hamidun bagi membolehkannya melaksanakan pera-nan, tugas dan tanggungjawab selaku ketua kampung dengan sempurna, berkesan dan jayanya seperti yang diharapkan.
Awang Abdul Walid seterusnya menegaskan, ketua kampung berperanan sebagai perantaraan dua hala iaitu sebagai mata, telinga dan lidah kerajaan dengan anak buah kampung bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan sesebuah kampung. Sesuai dengan peranan ini, beliau mengingatkan supaya ketua-ketua kampung bertindak secara bijaksana dalam menangani isu dan permasalahan yang dibangkitkan oleh masyarakat dengan saksama dan penuh berhemah.
“Adalah amat penting bagi ketua kampung selaku pemimpin akar umbi untuk sentiasa memimpin dan memperlihatkan contoh tauladan yang baik kepada anak buah termasuk ahli-ahli majlis perundingan kampung,” tambahnya.
Beliau seterusnya melahirkan rasa percaya, sikap positif seperti memupuk kemesraan dan mengukuhkan perhubungan dengan anak-anak buah kampung adalah pendekatan sebaik-baik yang perlu diamalkan oleh setiap pemimpin akar umbi. Turut hadir menyaksikan penyampaian sijil lantikan itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai Daerah Brunei dan Muara, pegawai-pegawai kanan KHEDN, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli jawatankuasa majlis perundingan mukim dan kampung serta penduduk Kampung STKRJ Sungai Buloh (Bukit Sibanging).
Pada majlis itu, Awang A. Hamidun turut membaca ikrar dan seterusnya menandatangani taat setia ikrar di hadapan tetamu kehormat dan tetamu yang lain di mana Awang A. Hamidun telah memulakan tugasnya pada 22 Julai yang lalu.
