Tuesday, April 8, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    A Minecraft Movie, satu filem yang diperlukan

    Tiada siapa dapat meneka betapa besar kesannya setelah beberapa hari pertama di pawagam, filem A Minecraft Move memperoleh jualan tiket yang mengejutkan sebanyak AS$157 juta dari pawagam di Amerika Syarikat dan Kanada, menurut anggaran studio kelmarin.

    Di peringkat antarabangsa pula, kutipan tambahan AS$144 juta menjadikan jumlah global lebih AS$300 juta.

    Bukan sahaja sekadar pembukaan terbesar pada tahun 2025, filem berkenaan juga memecah rekod untuk adaptasi permainan video, satu kejayaan yang sebelum ini dipegang oleh The Super Mario Bros. Movie  dengan AS$146 juta.

    “Kami sangat gembira kerana penonton memberi respons dan semua orang akan pergi ke wayang untuk menontonnya,” kata Pamela Abdy, pengerusi bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Warner Bros. Motion Picture Group.

    Sebelum ini, penganalisis mengunjurkan kutipan hanya mencecah AS$80 juta. Sebaliknya, jumlah sebenar hampir dua kali ganda.

    Filem berdasarkan permainan berasaskan blok berkenaan sebenarnya tidak mempunyai naratif. Namun seramai 200 juta pemain aktif bulanannya masih mahu menontonnya.

    “Kami membuat filem untuk peminat permainan itu dan ia melebihi jangkaan kami,” kata DeLuca, pengerusi bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Warner Bros. Motion Picture Group.

    Filem arahan Jared Hess dan penerbitan bersama Legendary Entertainment serta Warner Bros telah menelan belanja AS$150 juta tidak termasuk aktiviti pemasaran dan promosi.

    Menampilkan barisan pelakon seperti Jack Black dan Jason Momoa yang wataknya diserap ke dalam dimensi imaginatif yang dipanggil Overworld dan perlu melakukan pengembaraan yang berbahaya dan pelik untuk pulang ke rumah.

    Filem adaptasi permainan video yang lain juga telah mencatat beberapa kejayaan penting sejak kebelakangan ini termasuk Super Mario Bros, Sonic dan Five Nights at Freddy’s. – AP

    Atas & Bawah: Antara babak dalam A Minecraft Movie oleh Warner Bros. – AP
    Jack Black dan Jason Momoa dalam salah satu babak dalam filem berkenaan – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda