Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT — A1 Auto selaku pengedar Motul dan ejennya dari Motul Asia Pasifik, telah melancarkan Bengkel H22 di Seria bersama versi baharu minyak motor kemegahan Motul, 300V.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, 300V yang dipertingkatkan bukan sahaja ideal untuk peminat sukan permotoran, tetapi juga bagi pemandu harian yang mencari pengalaman permotoran yang ideal dan tanpa kerumitan.
Teng Yuit Mei dari Motul Asia Pasifik dalam ucapan perasmiannya berkata, “Dengan pelancaran produk ini, kami berharap Bengkel H22 dapat terus menyediakan produk pelincir dan cecair premium, berkualiti serta berprestasi sebagai bengkel penjagaan kereta profesional serba boleh untuk pelanggan mereka, di mana Motul berfungsi sebagai produk yang ideal bagi bengkel.”
Kenyataan menyatakan, Syarikat A1 Auto merupakan pengedar rasmi pertama Motul yang dilantik di Brunei.
Komited untuk menyediakan penyelesaian penjagaan kereta profesional bagi pengguna di Brunei, syarikat berkenaan baru sahaja menubuhkan Pusat Motul khusus yang bertujuan untuk berkongsi pengetahuan mengenai pelincir Motul dan menawarkan produk serta perkhidmatan yang berharga bagi meningkatkan pengalaman automotif pelanggan mereka di negara ini.
