Rapper antarabangsa, A$AP Rocky kini terlibat dalam saman bernilai AS$1.1 juta selepas kerja-kerja pengubahsuaian di kondominumnya di New York City didakwa menyebabkan kerosakan air kepada unit jiran di bawahnya.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Manhattan pada 30 Oktober dan diperoleh oleh People, penyanyi berusia 37 tahun itu, yang nama sebenar Rakim Mayers, telah mengupah kontraktor ADE Pro Painting untuk kerja-kerja pengubahsuaian pada Disember 2024.
Pada 23 Disember, beberapa paip air panas “daripada dan sekitar unit Mayers meletup, menyebabkan air mengalir ke beberapa unit di bawah.”
Saman difailkan oleh salah seorang jiran yang terjejas, atas nama Chez Ni LLC, yang mendakwa pencerobohan air itu bersifat ‘memusnahkan’ dan menyebabkan ‘kerosakan besar’ kepada unit mereka, termasuk peralatan, perabot dan peningkatan serta harta peribadi mereka.
Mereka turut mendakwa kehilangan hak penggunaan dan keselesaan unit, kerana hartanah itu tidak boleh didiami semasa proses pembaikan dan pemulihan dijalankan.

Menurut dokumen mahkamah, jiran rapper itu menuntut ganti rugi untuk pembaikan unit mereka, serta pembaikan atau penggantian harta peribadi yang didakwa rosak akibat ‘kelalaian’ semua pihak terlibat.
Mereka juga menuntut pampasan untuk kos penginapan alternatif, kerana terpaksa meninggalkan kediaman utama sementara pembaikan dijalankan, dengan sekurang-kurangnya AS$200,000 untuk perbelanjaan sendiri dan AS$900,000 bagi kerosakan harta secara keseluruhan.
Selain itu, mereka mendakwa lembaga kondominium mengenakan bayaran lebih AS$42,000 untuk kos kontraktor menilai kerosakan, termasuk membuang papan gipsum basah, mengepam air dan memasang penyahlembap sementara. Jiran itu menyatakan mereka tidak bertanggungjawab atas bil tersebut kerana punca air datang daripada apartmen rapper itu.
Peguam jiran, Jonathan Jeremias dari Schwartz Sladkus Reich Greenberg Atlas LLP, berkata kepada media, “Akibat insiden ini, pelanggan kami serta penduduk lain di bangunan tersebut terpaksa berpindah dari rumah mereka sejak Malam Krismas tahun lalu dan berbulan-bulan berikutnya. Tiada pihak yang mengaku salah atau mengambil tanggungjawab atas kerosakan yang berlaku. Kami akan terus menuntut penyelesaian penuh, adil dan wajar untuk pelanggan kami.”
Sehingga kini, wakil A$AP Rocky enggan mengulas mengenai saman tersebut. – Agensi

