Pelakon Datuk Aaron Aziz bergegas ke sebuah pusat beli-belah di Shah Alam susulan insiden tembakan yang berlaku di sana pada malam kelmarin.
Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, bergegas ke lokasi kejadian untuk menjemput anak perempuannya iaitu Dahlia Arissa, 15, yang berada di pusat beli-belah berkenaan.
Walaupun cemas namun Aaron bersyukur apabila anaknya selamat apabila pengunjung diarahkan keluar.
“Saya datang ke sini untuk ambil Dahlia dan Amira (rakan Dahlia) keluar dari situ.
“Anak saya kata tadi semua orang diarahkan keluar,” katanya.
Aaron berkongsi perkara itu menerusi hantaran video TikTok kelmarin.
Dalam pada itu, pelakon itu menasihati orang ramai untuk memastikan keselamatan ahli keluarga masing-masing yang berada di lokasi kejadian.
Aaron turut mengingatkan agar sentiasa bertenang dan tidak panik apabila berdepan situasi kecemasan di tempat awam.
“Ingat ya adik (Dahlia), jangan sesekali panik jika berlaku sebarang kecemasan.
“Berharap semua memastikan saudara anda berada dalam keadaan selamat jika berada di sana tadi,” ujarnya.
Sementara itu, polis mengesahkan seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pekerja pembersihan pusat beli-belah berkenaan cedera ditembak oleh suspek dalam kejadian tersebut.
Manakala suspek melarikan dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandunya membawa dia keluar dari kawasan terbabit. – Agensi
