Pelakon Datuk Aaron Aziz mendedahkan ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan suara dan fotonya dengan memanipulasi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi satu sindiket penipuan.
Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 48, berkata, dia juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan sedang menunggu maklum balas untuk tindakan selanjutnya.
Kata Aaron, kes ini memerlukan masa agak panjang untuk diselesaikan kerana terdapat beberapa prosedur rumit yang harus dijalankan termasuk mengesan identiti pelaku.
“Saya sudah buat laporan ke MCMC dan ia akan memakan masa juga kerana perlu mengesan IP address dan saya pun sudah menghantar wakil ke kilang tersebut tetapi sukar untuk dikesan kerana mereka mempunyai ramai ejen.
“Scammer itu menggunakan suara dan gambar saya dengan teknologi AI, ibaratnya seperti saya yang mempromosikan produk tersebut,” katanya kepada mStar.
Aaron berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa filem The Experts yang diadakan di Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam, Selangor pada malam Sabtu.
Dalam pada itu, Aaron memberitahu sebelum ini dia sudah memberi amaran kepada sindiket penipuan tersebut namun peringatan yang diberikan tidak diendahkan oleh pihak terbabit.
Jelas Aaron, dengan penipuan yang dibuat, ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya yang dianggap sebagai penipu.
“Sebelum ini sudah berlaku kes penipuan seperti itu tetapi saya sudah memberi amaran untuk mereka padam hantaran yang dibuat. Tapi tengok-tengok mereka buat balik.
“Mereka buat promosi satu t-shirt berharga RM1. Tak masuk akal kan? Nama saya juga terpalit orang ingatkan saya scam pelanggan,” ujarnya. – Agensi