Pelakon Datuk Aaron Aziz tampil menjelaskan dakwaan kononnya dia menutup rezeki agensi pengurusan haji dan umrah selepas berkongsi isu berkaitan tunggakan hutang yang dikaitkan dengan syarikat terbabit.
Menurut Aaron, 49, tujuannya memuat naik hantaran mengenai perkara itu bukan untuk menjejaskan pendapatan sesiapa, sebaliknya mahu melindungi orang awam daripada terus menjadi mangsa.
“Kepada kakitangan dan kawan-kawan syarikat agensi ini yang mendakwa posting saya menutup sumber rezeki mereka, saya tidak mahu orang berdaftar dan dianiaya.
“Jadi inilah keadaannya. Kalau saya tak bersuara berapa ramai lagi yang akan diperlakukan sedemikian?,” tulisnya menerusi satu video di Instagram.
Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, turut berkongsi video memaparkan beberapa tangkap layar individu yang mendakwa pernah berurusan dengan agensi sama dan berkongsi pengalaman kurang menyenangkan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai mendakwa mereka pernah berdepan pelbagai masalah termasuk urusan tiket balik gagal diuruskan hingga menyebabkan jemaah terkandas.
Terdahulu, Aaron memuat naik hantaran di Instagramnya meluahkan mengenai kerugian yang ditanggungnya sebanyak RM65,000.
“Buat syarikat terbabit, hutang saya sebanyak RM65,000 masih belum selesai lagi. Saya dah hubungi, tak jawab. Mesej, tak balas
“Awak hilangkan diri. Jadi, tolong selesaikan hutang saya secepat mungkin ataupun berhubung dengan saya. Jangan ‘matikan’ diri. RM65,000 belum dibayar,” katanya.
Dalam hantaran sama, Aaron turut memberitahu dia terpaksa menggunakan duit yuran persekolahan anaknya bagi membantu syarikat itu.
“Saya guna duit yuran sekolah anak saya yang akan ke Amerika, Ogos ini. Siapa nak bayar? Dah tolong, tapi macam ini akibatnya. Nantikan surat dari peguam saya. Kontrak dan tandatangan untuk membuat bayaran secara ansuran, tapi tidak amanahkan pembayaran,” tulisnya. – Agensi
