Pelakon Datuk Aaron Aziz tidak berkira mengeluarkan belanja besar demi anak keduanya iaitu Dwi Ariana yang menyambung pengajian dalam bidang Psikologi Forensik di Universiti Surrey, England.
Meskipun anaknya itu ada menerima biasiswa sebanyak RM20,000, namun Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 48, berkata dia masih perlu menanggung bayaran selebihnya. Kata Aaron, untuk kos pengajian anaknya itu menelan belanja sebanyak RM140,000 setahun dan Dwi akan menetap di negara berkenaan selama empat tahun.
“Dia (Dwi) ada dapat biasiswa tetapi hanya sekitar RM20,000 sahaja dan selebihnya kami keluar duit sendiri. Untuk setahun kos pengajian tersebut dalam RM140,000,” katanya kepada mStar.
Sementara itu, Aaron berkata dia tidak kisah berbelanja besar untuk pendidikan kerana yakin rezeki anak-anak tidak akan putus.
“Tapi bagi saya duit kita boleh cari. Setakat ini, Alhamdulillah, ada sahaja rezeki daripada Allah beri kepada saya. Bila saya banyak keluarkan duit untuk pendidikan anak-anak pasti ada rezeki lain yang dapat, kadang-kadang lebih lagi daripada yang dibelanjakan.
“Sebagai ibu bapa, jika kita berkemampuan dan ada rezeki janganlah berkira dalam soal pendidikan anak-anak untuk mengejar impian dalam hidup mereka,” jelasnya.
Meskipun sudah menyediakan segala keperluan untuk anak-anak, Aaron berkata dia tetap mengajar mereka untuk hidup berdikari apabila berada di luar negara.
“Dwi perlu keluar dari asrama dan kena cari penginapan sendiri pada tahun kedua pengajian di sana. Dia juga dibenarkan bekerja sambil belajar di sana iaitu dalam seminggu boleh kerja dalam 20 jam. Saya ajar anak-anak, bukan semua minta kat Daddy (panggilan Aaron) akan dapat, jadi dia kena belajar cari duit sendiri dan bukan senang-senang saja minta duit,” ujarnya.
Pada Julai lalu, Dwi berjaya menamatkan pengajian A-Level di Kolej Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan.
Untuk rekod, Aaron mendirikan rumah tangga bersama Datin Diana Halik pada 2003 dan pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 19, Dwi Ariana, 18, dan Dahlia Arissa, 14. – Agensi