Pelakon Datuk Aaron Aziz mengaku hatinya tidak tenang memikirkan keadaan anak perempuannya, Dwi Ariana selepas berdepan saman RM2 juta difailkan personaliti media sosial, Sharina Richie.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata dia tidak menolak kemungkinan anak gadisnya itu menyembunyikan perasaan sebenar kerana enggan membebankan keluarga.
Sebagai bapa, Aaron tetap bimbang walaupun anaknya kini melanjutkan pelajaran di University of Surrey, England, United Kingdom.
“Susah nak cakap sebab kami jarang berjumpa kerana duduk jauh. Bila berbual melalui telefon, dia nampak gembira, tapi kita tak tahu apa yang dia rasa sebenarnya. Baru-baru ini dia ada mesej saya, luahkan rasa rindu,” katanya kepada mStar.
Aaron berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan filem Banduan yang berlangsung di Penjara Kajang kelmarin.
Walau bagaimanapun, Aaron yakin anak keduanya itu mampu menghadapi situasi tersebut dengan tenang merupakan pelajar jurusan psikologi.
“Saya rasa dia sudah dewasa. Lagipun dia mengambil jurusan psikologi, jadi semua ini bukan masalah besar,” katanya lagi.
Sementara itu, Aaron menyerahkan sepenuhnya kepada pihak peguam berhubung kes saman melibatkan anak perempuannya itu.
“Saya rasa tidak banyak yang boleh dikongsikan. Kita tengok dulu bila sudah masuk ke mahkamah nanti, baru boleh kongsi.
“Buat masa sekarang semuanya masih dalam peringkat saman menyaman. Biarkan mereka buat kerja, bila tiba masanya (naik mahkamah) baru kita tahu keputusannya,” luahnya.
Sebelum ini, Aaron meluahkan rasa terkejut selepas menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh media sosial itu yang didakwa mahu menyaman anak perempuannya.
Aaron bagaimanapun percaya anaknya itu tidak melakukan sebarang kesalahan berat sehingga perlu diheret ke mahkamah. – Agensi


