Video perkongsian pempengaruh DMA Islam terus mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk golongan selebriti.
Antara yang bersuara meluahkan rasa kurang senang adalah pelakon Datuk Aaron Aziz yang menyifatkan perbuatan itu tidak selari dengan nama yang digunakan kerana sanggup memburukkan ilmu, menurut laporan mStar.
“Nama guna DMA Islam. Tapi tak habis-habis kutuk orang macam awaklah terpaling profesor.
“Buang sahaja nama ‘Islam’ kalau awak nak burukkan seni orang lain,” katanya.
Aaron menulis perkara itu menerusi hantaran di Instagramnya pada petang kelmarin.
Dia mengulas selepas tular vidoe DAM Islam yang memperlekeh beberapa bidang pengajian di universiti termasuk komunikasi media, teater dan seni tari.
Bercerita lanjut, Aaron menegaskan bidang seni dan komunikasi semakin berkembang hasil daripada sumbangan graduan-graduan universiti dalam bidang berkenaan.
Tambah aktor itu, peluang pekerjaan serta pembangunan industri hiburan juga semakin baik sehingga terdapat filem-filem yang mampu mencecah kutipan tinggi.
“Bidang komunikasi media inilah yang bantu naikkan industri filem sampai dapat kutipan ratusan juta,” jelasnya.
Sementara itu, hantaran tersebut turut mendapat respons pelakon Sharnaaz Ahmad yang turut akan bersuara tentang isu sama.
“Sekejap abang (panggilan Aaron), cuci seluar dalam selepas habis jelajah filem, nanti saya masuk,” balasnya. – Agensi
