Penyanyi rap, Aaron Carter, 34, yang juga adik kepada anggota kumpulan Backstreet Boys, Nick Carter ditemui mati lemas dalam tab mandi di kediamannya di Lancaster, California, Amerika Syarikat (AS).
Berita kematiannya disahkan wakil syarikat pengurusan, Big Umbrella, namun enggan mengulas punca kematian.
“Sekarang waktu paling sukar. Kami berusaha mencari punca kematian dan apakah sebenarnya yang berlaku.
“Seperti orang lain, kami amat bersedih dengan apa yang berlaku. Saya harap peminat dapat mendoakan dan memberi kata semangat kepada keluarganya,” kata wakil pengurusan.
Memetik laporan portal TMZ, polis Los Angeles tiba di lokasi kejadian, sekitar jam 11 pagi waktu tempatan selepas menerima panggilan berhubung penemuan seorang lelaki yang lemas dalam tab mandi.
Aaron memulakan kerjaya dalam bidang muzik seawal usia tujuh tahun dan melancarkan album sulung berjudul Aaron Carter pada 1997 sehingga berjaya melonjakkan namanya.
Beliau kemudiannya menghasilkan album Aaron’s Party (Come Get It) pada 2000, diikuti Oh Aaron (2001) dan Another Earthquake (2002).
Antara lagu hit nyanyiannya termasuklah Aaron’s Party (Come Get It), That’s How I Beat Shaq dan I Want Candy yang juga lagu saduran milik The Strangleloves.
Aaron juga mengembangkan kerjaya seni dengan menceburi bidang lakonan apabila muncul dalam pementasan teater muzikal serta program popular, Dancing With The Stars.
Terdahulu, Aaron pernah mendedahkan dirinya mengalami masalah kesihatan mental dan depresi. Menerusi satu temubual tiga tahun lalu, Aaron berkongsi pengalaman melawan pelbagai masalah mental. Antaranya, kecelaruan identiti, kemurungan dan skizofrenia. – Agensi