KUALA LUMPUR, 27 JAN – Pasangan jaguh beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dilihat beraksi di bawah tahap sebenar, ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan bukan pilihan dari China pada aksi suku akhir kejohanan badminton Masters Indonesia di Jakarta, hari ini.
Pada pertemuan menentang gandingan He Ji Ting-Zhou Hao Dong yang berlangsung di venue ikonik, Istora Senayan, Aaron-Wooi Yik yang merupakan juara dunia 2022 bermula baik apabila mendahului 11-8 pada pertengahan permainan set pertama, namun hilang rentak sehingga dipintas dan kecundang 17-21.
Persembahan longlai pasangan Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat terserlah pada set kedua, selepas ketinggalan 4-12 sebelum membenarkan pihak lawan mengutip mata dengan mudah untuk menoktahkan kemenangan 21-10.
Gandingan ranking ke-21 dunia dari China itu, mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dalam tempoh 38 minit untuk bertemu sama ada rakan senegara Liu Ye Chen-Ou Xuan Yi atau gandingan tuan rumah yang juga pilihan pertama Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Ia kekalahan memeritkan buat Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking nombor dua dunia, selepas mereka turut kempunan merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Terbuka India apabila tewas di final, Ahad lepas. – Bernama