Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aaron kembali bertubuh ‘sado’

    Aktor kacak, Datuk Aaron Aziz, 44, pernah tidak mempedulikan berat badan naik mendadak suatu ketika dahulu.

    Selain kesan ubat diambil akibat penyakit saraf yang pernah ditanggungnya, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2011 dan 2013 itu tidak terlalu obses menjaga penampilan diri.

    Bagaimanapun, segala-galanya berubah, tahun ini. Pelakon yang menempa populariti menerusi drama Nora Elena dan Tuan Anas Mikael itu kembali membina badan, sejak beberapa bulan lalu.

    Malah, bapa kepada tiga cahaya mata berkenaan mula berkongsi susuk tubuh yang kembali ‘sado’ menerusi laman sosial, Instagram.

    Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz berkata, apa yang dilakukan sebagai persediaan membintangi watak utama filem aksi yang masih dirahsiakan judulnya.

    “Bagi saya, tiada yang mustahil dalam dunia termasuk mendapatkan bentuk badan idaman. Ya, dahulu saya pernah rasa tak perlu terlalu menjaga badan. Biasalah, ada banyak perkara yang mesti diutamakan, jadi ada pula hal yang perlu diketepikan.

    Aaron Aziz kelihatan semakin ‘sado’ melalui perkongsian gambarnya di Instagram. – Agensi

    “Tak sangka di sebalik ujian COVID-19, saya bagaikan memperoleh semangat untuk kembali menjaga badan secara semula jadi. Ia bukan mudah, tetapi demi kesihatan dan tuntutan watak untuk filem aksi, saya rela berkompromi,” katanya kepada media.

    Pelakon kelahiran kota Singa itu berkata, tawaran berlakon filem berkenaan diterima pada Julai lalu.

    “Sebelum itu, saya terikat dengan penggambaran drama Jalan Sesat Ke Syurga. Bagaimanapun, baru memulakan penggambaran lima hari, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan pada Mac lalu.

    “Jadi, saya memang banyak masa terluang di rumah ketika PKP. Saya banyak membuat senaman seperti naik turun tangga rumah, angkat baldi dan buat tekan tubi. Masa itu, saya fikir sekadar hendak menurunkan berat badan.

    “Saya melunaskan baki penggambaran drama Jalan Sesat Ke Syurga apabila penggambaran dibenarkan. Tanpa diduga ramai yang tegur berat badan saya kian susut.

    “Di situ, saya peroleh semangat untuk meneruskan rutin bersenam di rumah sebelum bekerja. Kemudian, saya terima tawaran berlakon filem. Semangat bersenam terus membara,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, penggambaran filem yang sepatutnya bermula awal Oktober ditangguhkan atas beberapa sebab.

    “Syarikat produksi menyediakan pelan diet, tajaan gimnasium dan makanan sihat untuk tempoh dua bulan ketika mendapat tawaran membintangi filem ini. Saya menjaga pemakanan dan tidak ambil minuman manis.

    “Malah, saya dibantu jurulatih kecergasan, Terrence Teo. Saya berlatih dengannya sekurang-kurangnya empat atau lima kali seminggu.

    “Namun, apabila fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuat kuasakan, saya bersenam sendirian,” katanya.

    Memberi tumpuan dan persediaan untuk menghidupkan watak dalam filem berkenaan, Aaron berkata, dia hanya menerima tawaran yang tidak mengambil masa yang panjang.

    “Saya sempat buat telefilem Mok Cun bersama Erma Fatima. Saya juga menjadi cameo bersama Nasha Aziz untuk sebuah filem lakonan Janna Nick,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda