Bintang terkenal Hong Kong, Aaron Kwok, mengisytiharkan dirinya sebagai lelaki paling bertuah di dunia selepas menyambut kelahiran anak perempuannya yang ketiga.
Pelakon dan penyanyi berusia 59 tahun itu, yang berkahwin dengan blogger fesyen China, Moka Fang, 38, mengumumkan berita gembira itu menerusi hantaran di media sosial pada 22 Oktober lalu.
“Puteri kecil kami akhirnya telah pulang ke rumah. Ibu dan anak berada dalam keadaan sihat dan kami amat bersyukur atas segala-galanya,” tulis penyanyi Cantopop tersebut dalam bahasa Cina sambil memuat naik sekeping foto anak damitnya.
Kwok, yang turut mempunyai dua lagi anak perempuan berusia enam dan lapan tahun hasil perkahwinannya dengan Fang, mengakui berasa sangat bersyukur dikurniakan anak pada usia tersebut.
“Kini keluarga kami memiliki tiga mutiara yang bersinar. Saya berasa amat diberkati dan bahagia. Kedua-dua kakaknya tidak sabar untuk menjaga adik mereka.

“Bagi saya, sama ada anak lelaki atau perempuan, semuanya adalah anugerah paling berharga daripada syurga. Rumah kami kini benar-benar lebih bermakna dan saya ialah lelaki paling bertuah di dunia, dikelilingi empat dewi yang menyayangi saya,” katanya.
Fang turut berkongsi hantaran suaminya di platform media sosial Weibo.
“Melihat suami saya mendukung anak damit kami, dengan sinaran mata yang sama seperti kali pertama dia bergelar bapa, saya tahu cinta kami adalah yang paling tulus.
“Terima kasih, suamiku, jantina anak tidak pernah menjadi syarat dalam kasih sayang kami. Kesihatan, kebahagiaan dan kebaikan adalah hadiah terbaik yang boleh kami berikan kepada anak-anak perempuan kami,” katanya.
Sementara itu, menurut laporan portal Sing Tao Headline, Kwok dilihat memandu dari kediamannya ke Hong Kong Sanatorium & Hospital bersama ibu mentuanya pada 22 Oktober lalu.
Lebih sejam kemudian, dia kembali ke tempat letak kereta bersama mentua dan dua jururawat. – Agensi
