Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Aaron Lim mengukir namanya dalam sejarah Ekspo Seni Bela Diri Borneo dan Kejohanan ISKA K1 Malaysia selepas menjadi johan dalam perlawanan Kickboxing Kategori Fight Fest 60 Kilogram yang berlangsung di Wilayah Persekutuan Labuan semalam.
Aaron Lim dari Pasukan Project Mayhem Brunei menunjukan semangat juang yang tinggi sekali gus menewaskan Aziz ‘The Santung Kid’ dari Kinabalu Fighter.
Sehubungan dengan itu, wartawan Media Permata berpeluang menghubungi Aaron Lim yang antaranya mengakui bahawa perlawanan semalam sangat mencabar apatah lagi berdepan dengan peserta yang berpengalaman dari Pasukan Kinabalu Fighters.
Tambahnya, pada pusingan awal dia banyak memerhati dan membaca gerakan lawan sekali gus mengubah strategi serangan dengan banyak menggunakan kaki. Peserta dari Brunei Darussalam itu beroleh kemenangan tipis apabila salah seorang juri memberi mata 30-27 dan juri lain 29-28. Kedua-dua keputusan itu akhirnya berpihak kepada Aaron Lim.
“Antara cabaran terbesar saya adalah mencapai berat badan yang ditetapkan untuk bertanding dan masih dibelenggu dengan kecederaan yang belum pulih sepenuhnya selepas menyertai kejohanan tinju di Kompleks Sukan Sungai Kebun minggu lepas,” ujar Aaron Lim.
Aaron Lim telah membuat persediaan sejak dua bulan lepas untuk penyertaan domestik baru-baru ini dan berpendapat bahawa kejohanan itu menjadi sesi pemanasan badan.
“Saya fokus untuk merancang penyertaan akan datang selain giat berlatih sekali gus bersedia untuk pembukaan rasmi Project Mayhem Seri Begawan di Kompleks Setia Kenangan, Kiulap yang akan berlangsung pada penghujung Januari ini,” tambahnya.
Menurutnya lagi, peserta perlu yakin dengan latihan yang diberikan jurulatih selain perlu tekun dan sentiasa berusaha mencapai sasaran latihan sekali gus mencapai standard antarabangsa.