Sunday, July 13, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aaron-Wooi Yik berpotensi rampas gelaran nombor satu dunia

    KUALA LUMPUR, 20 JUN – Beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Woi Yik berpotensi untuk merampas kedudukan utama dunia apabila turun beraksi di Terbuka Jepun dan China, bulan depan.

    Ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi berkata gelaran nombor satu dunia bukan saja pencapaian membanggakan tetapi turut memberikan kelebihan dari segi undian menjelang Kejohanan Dunia di Paris pada 25 hingga 31 Ogos nanti.

    “Aaron-Wooi Yik sekarang di ranking kedua dunia dan itu sudah cukup baik untuk bantu mereka mendapatkan laluan lebih baik di Kejohanan Dunia.

    “Kalau mereka boleh capai ranking nombor satu dunia sebelum itu, kenapa tidak? Sudah tentu ia lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

    Aaron-Wooi Yik menghuni ranking kedua dunia dengan 89,870 mata, ketinggalan 1,220 mata di belakang rakan senegara yang juga pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

    Sementara itu, Herry berkata kedudukan nombor satu bukan menjadi keutamaan buat gandingan negara ketika ini sebaliknya adalah untuk memastikan mereka benar-benar bersedia dalam setiap kejohanan disertai.

    Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia pada edisi 2022 di Tokyo, Jepun selepas mengecewakan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14. – Bernama

    Aaron (kanan) dan Wooi Yik ketika menentang pemain Denmark pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil pada 24 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda