KUALA LUMPUR, 31 OKT – Pasangan beregu utama lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu menunggu lebih lama untuk mengukir nama dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF), setelah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu tersingkir pada peringkat separuh akhir Terbuka Perancis, awal hari ini.
Walaupun bermula cemerlang dengan memenangi set pertama 21-14, namun pasangan nombor lapan dunia itu tewas 10-21, 22-24 menentang bekas juara dunia Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol dari Korea Selatan dalam perlawanan 56 minit di Stade Pierre de Coubertin, Paris.
Pada perlawanan akhir hari ini, Korea akan berdepan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, yang menewaskan rakan senegara, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-19, 12-21, 26-24 pada separuh akhir.
Terdahulu, Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir selepas menewaskan pilihan kelima S. Rankireddy-Chirag Shetty dari India 18-21, 21-18, 21-17.
Juara Sukan SEA 2019 itu hampir memenangi kejuaraan setelah berjaya mara ke pusingan akhir pada Terbuka SaarLorLux 2018, Antarabangsa Malaysia 2019, All England 2019 dan Terbuka Thailand 2020, namun impian bergelar juara kali ini, sekadar impian buat mereka. Sementara itu, sinar buat Malaysia apabila pemain perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong merangkul kejuaraan Terbuka Belgium di Leuven.
Pemain berusia 21 tahun dari Johor itu, mengejutkan Ajay Jayaram dari India dengan kemenangan 21-14, 21-14 sekali gus merangkul kejuaraan ketiganya, selepas muncul juara dalam Kejohanan Antarabangsa Australia Selatan 2019 dan Terbuka Poland 2021, sebelum ini.
Mengulas mengenai kejayaan itu, Tze Yong berkata aksi pusingan akhir nampak senang buat beliau kerana rancangan taktikalnya menjadi, selain prestasinya juga berada dalam keadaan yang baik.
“Saya rasa prestasi saya agak konsisten dalam kejohanan ini, daripada pusingan pertama apabila saya berjaya menewaskan pilihan keenam, Victor Svendsen dari Denmark. Jadi saya rasa gembira dengan prestasi saya.
“Selepas setiap perlawanan, saya akan buat lebih senaman regangan dan minum protein untuk pulih, jadi saya rasa ia dapat membantu saya menjadi konsisten dan stamina tak banyak sangat menurun (selepas beraksi). Saya akan cuba yang terbaik untuk menjuarai kejohanan seterusnya,” katanya yang muncul naib juara Terbuka Czech pada hujung minggu lepas. – Bernama