Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aaron, Wooi Yik kejutkan pasangan beregu No 1 dunia

    TOKYO, 29 JULAI – Beregu utama lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menampilkan aksi cemerlang dengan mengejutkan pilihan utama Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon untuk mara penuh bergaya ke separuh akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

    Pasangan yang berada di ranking ke-9 dunia itu mempamerkan permainan agresif dengan pukulan smash tajam dan mengelirukan gandingan nombor satu dunia dari Indonesia itu untuk mencatat kemenangan 21-14, 21-17 dalam masa 33 minit di Musashino Forest Sport Plaza di sini.

    Kemenangan itu adalah yang pertama bagi Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan Indonesia itu dalam lapan pertemuan dengan aksi pertama mereka pada Terbuka Malaysia 2018 hingga perlawanan terakhir pada Kejohanan All England 2020.

    Aaron-Wooi Yik, yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik dan diletakkan sebagai gandingan bukan pilihan, dijadual berdepan pasangan ranking keenam dunia dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen pada aksi separuh akhir, petang esok.

    Ketika ditemui pemberita, Aaron berkata beliau cukup berpuas hati dengan kemenangan itu, dan berharap dapat meneruskan rentak permainan mereka pada aksi separuh akhir. – Bernama

    Aksi Aaron Chia dan Wooi Yik Soh dari Malaysia ketika berdepan dengan pasukan Kanada, Jason Ho-shue dan Nyl Yakura dalam perlawanan badminton lelaki beregu peringkat kumpulan di Olimpik Tokyo, semalam. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda