Tuesday, April 8, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aaron-Wooi Yik mampu kembali menyala di BAC 2025 – Razif

    KUALA LUMPUR, 7 APRIL – Di sebalik prestasi kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, bekas juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpotensi untuk kembali ‘mengaum’ pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, bermula esok.

    Keyakinan tersebut dilaungkan legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek bersandarkan laluan mudah bakal ditempuhi pilihan keenam kejohanan itu yang bakal berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo sehingga Ahad ini.

    “Berdasarkan laluan Aaron-Wooi Yik di BAC 2025, saya rasa suku akhir seterusnya baru susah. Tidak mustahil, mereka sebenarnya boleh berjaya cuma harus serius dan beri tumpuan 100 peratus.

    “Dari segi pengalaman pula tiada masalah, mereka pernah kalahkan beregu handal dunia lain termasuk dari China dan Indonesia. Apatah lagi mereka tidak mengalami kecederaan membimbangkan yang menghalang mereka untuk tampil aksi cemerlang (perform) kali ini,” katanya kepada Bernama.

    Pasangan ranking keenam dunia itu sebelum ini dibelenggu isu kecederaan yang dialami Aaron sehingga menyaksikan mereka tersingkir seawal pusingan pertama dalam dua kejohanan iaitu Masters Orleans 2025 di Perancis diikuti Seluruh England 2025, bulan lepas.

    Aaron-Wooi Yik akan membuka kempen BAC 2025 menentang beregu bukan pilihan dari Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dengan rekod pertemuan memihak kepada pasangan negara 3-0.

    Mereka kemudian bakal bertemu sama ada pasangan kurang ternama dari India, Hariharan Amsakarunan-Ruban Kumar Rethinasabapathi sebelum halangan sebenar menanti di suku akhir seandainya pilihan ketiga dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto mara ke peringkat tersebut. – Bernama

    Reaksi pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik ketika tewas di tangan lawan dari Taiwan, Lee Fang Chih dan Lee Fan Jen pada Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil pada 9 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda