Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aaron-Wooi Yik mampu ‘takluk’ seluruh England – Herry

    KUALA LUMPUR, 21 FEB – Ketua jurulatih beregu lelaki Malaysia, Herry Iman Pierngadi optimis anak buahnya Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu menamatkan penantian Malaysia untuk memenangi sektor berkenaan di Kejohanan Badminton Seluruh England 2025 bermula 11-16 Mac ini.

    Herry berkata beliau kini sedang dalam proses mempersiapkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu dengan sistem latihan baharu bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi kejohanan badminton tertua dunia itu.

    “Peluang itu selalu ada tapi saya rasa persiapan mereka masih belum mencapai tahap maksimum.

    “Aaron dan Wooi Yik masih menyesuaikan diri dengan program latihan saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

    Kali terakhir beregu lelaki Malaysia memenangi Kejohanan Badminton Seluruh England pada 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menewaskan gandingan China, Fu Haifeng-Chai Yun.

    Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di kejohanan berkenaan bergelar naib juara pada edisi 2019 dan 2024.

    Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehadiran tujuh beregu lelaki negara yang layak beraksi di kejohanan itu, beliau mengakui ia merupakan satu kelebihan buat Malaysia untuk mengungguli sektor berkenaan.

    Beliau berkata perkembangan itu secara tidak langsung memberi persaingan sihat kepada beregu lelaki Malaysia untuk beraksi dengan lebih baik.

    Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Malaysia akan diwakili empat pasangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Chong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri. – Bernama

    Herry Iman Pierngadi optimis anak buahnya Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu menamatkan penantian Malaysia untuk memenangi Kejohanan Badminton Seluruh England 2025 nanti. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda