Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara pusingan 16 terbaik

    KUALA LUMPUR, 16 JAN – Beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka India 2025, selepas mencatat kemenangan ke atas pasangan bukan pilihan dari Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul, dalam perlawanan sengit selama 56 minit awal pagi tadi.

    Perlawanan pusingan 32 terbaik di Indira Gandhi Sports Complex menyaksikan Aaron-Wooi Yik tewas pada set pertama 20-22, namun bangkit untuk memenangi dua set berikutnya dengan keputusan 21-16 dan 21-18 ke atas pasangan yang berada pada ranking ke-31 dunia itu.

    Pasangan negara itu akan berhadapan beregu China, Xie Hao Nan-Zheng Wei Han, yang berada pada ranking ke-39 dunia pada pusingan kedua, hari ini.

    Aaron-Wooi Yik pernah tewas kepada pasangan tersebut pada pertemuan terdahulu di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia 2024.

    Selain itu, beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut melakar kemenangan apabila menundukkan pasangan tuan rumah Prerana Alvekar-Mrunmayee Despande 21-8, 21-19 dalam masa 27 minit.

    Sebagai pilihan ketiga kejohanan, Pearly-Thinaah bakal menghadapi cabaran getir apabila bertemu pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian buat kali pertama pada pusingan 16 terbaik hari ini. – Bernama

    Aaron Chia (kiri) dan Wooi Yik semasa Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil pada 9 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda