Friday, October 18, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ABAC tekankan komitmen kerjasama tanpa diskriminasi

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) telah menyuarakan kebimbangan serius mengenai peralihan global ke arah perlindungan dan pemecahan serantau, yang mempertaruhkan kemajuan ekonomi selama beberapa dekad, semasa Mesyuarat ABAC II di Hong Kong, baru-baru ini.

    Pengerusi ABAC Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Brunei telah menghadiri mesyuarat berkenaan.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, beliau berpeluang terlibat dalam dialog produktif mengenai topik seperti pendigitalan, kemudahan perdagangan, dan pembangunan ekonomi mampan yang inklusif.

    “Adalah menggalakkan untuk melihat kemajuan baik dan rumit yang disumbangkan oleh pasukan petugas terhadap kerja dan cadangan khas untuk menangani beberapa isu utama.

    “Memandangkan ABAC berfungsi sebagai platform penting bagi pemimpin perniagaan untuk membincangkan isu dan strategi ekonomi utama untuk memupuk kerjasama serantau dan pertumbuhan mampan, adalah penting untuk terus memacu usaha yang diselaraskan daripada setiap negara anggota APEC dalam mengharungi cabaran-cabaran berterusan bagi rantau ini,” ujarnya.

    Manakala itu, ahli ABAC Brunei, Hafriz Fayadh yang juga Pengarah Urusan Exceltech Solutions Sdn Bhd berkata semasa mesyuarat itu mereka merenungkan intipati misi mereka iaitu untuk memupuk pertumbuhan inklusif, inovasi dan kerjasama merentas rantau Asia Pasifik daripada peralihan tenaga kepada memperjuangkan amalan mampan dan menerima ekonomi bulat.

    Perbincangan mereka menggariskan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk membentuk masa depan di mana kemakmuran selaras dengan penjagaan alam sekitar.

    “Dengan tumpuan untuk memajukan dasar yang memperkasakan wanita dalam perniagaan, kami mengesahkan dedikasi kami untuk mewujudkan medan bermain yang sama rata di mana bakat dan cita-cita tidak mengenal batas. Bersama-sama, ahli ABAC termasuk Negara Brunei Darussalam, sedang merangka hala tuju ke arah hari esok yang lebih berdaya tahan, saksama dan sejahtera,” ujarnya.

    Semasa mesyuarat itu, Pengerusi ABAC untuk 2024, Julia Torreblanca dari Peru menekankan bahawa komitmen berterusan terhadap kerjasama, pasaran terbuka dan tanpa diskriminasi adalah penting untuk kemakmuran rantau ini.

    Pengiran Aki Ismasufian dan Hafriz Fayadh mewakili ABAC Brunei di Mesyuarat ABAC II di Hong Kong, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN ABAC BRUNEI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda