Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Tidak pernah terlambat untuk seseorang itu mempelajari sesuatu yang baharu seperti apa yang telah dibuktikan oleh Dato Paduka Haji Shofry bin Haji Abdul Ghafor yang mengambil kelas lukisan ketika berusia 45 tahun semasa bertugas sebagai perwakilan tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Kini beliau mempamerkan sebanyak 62 hasil karyanya dalam pameran seni di Galeri Seni, Dermaga Diraja, di ibu negara bermula hari ini.
Pameran Seni Kembara Solo Dato Shofry Abdul Ghafor itu telah dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat majlis.
Wakil Pengurusan Bekas Pelajar Kuala Lumpur Brunei (BEKS) Negara Brunei Darussalam, Awang Mosli bin Hadis dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa Dato Paduka Haji Shofry mula melukis apabila beliau mengikuti kelas malam di New York pada 2003 dan sejak itu, beliau tidak pernah berhenti melukis.
Sehingga kini, sebagai seorang diplomat yang telah bersara, beliau meneruskan minatnya dalam mengembara dan melukis.


“Walaupun beratus atau beribu fotograf boleh didapati sekarang, lakaran atau lukisan kembara tetap relevan kerana ia bukan saja menggambarkan sesuatu tempat itu dari pelbagai sudut, tetapi juga dapat mengabadikan kenangan peribadi seseorang itu secara lebih dekat, lebih intim daripada apa yang dapat dirakam dalam sesebuah foto itu,” jelas Awang Mosli.
Dato Paduka Haji Shofry menggunakan latar belakang tempat-tempat yang pernah beliau jejaki. Dengan versi artistiknya, beliau mempamerkan gaya seni bina, adat dan kehidupan masyarakat setempat.
Tetapi lebih daripada itu, lukisan-lukisan itu merakamkan pengembaraan peribadi serta fikiran dan perasaan beliau mengenainya, dan bukannya berdasarkan penglihatan kolektif dunia semata.
Sebagai seorang diplomat, pengembaraan sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan Dato Paduka Haji Shofry.
Beliau memulakan pengembaraan dari seawal umur 12 tahun, apabila dihantar untuk belajar di Singapura.
Sejurus selepas menamatkan pengajian sarjana muda, kerjayanya dalam diplomasi membawa beliau mengembara ke lebih dari 50 buah negara.
Dato Paduka Haji Shofry tidak pernah melihat pengembaraan sebagai sesuatu yang rumit. Beliau mempunyai minat dalam mengembara, untuk mempelajari sesuatu yang baharu daripada sesebuah negara dan rakyatnya.
Oleh yang demikian, pameran tersebut adalah cerminan kepada minat Dato Paduka Haji Shofry dalam lukisan dan pengembaraan.
Awang Mosli berharap agar pameran tersebut dapat menawarkan penontonnya, bukan sahaja sekilas pemandangan pelbagai tempat daripada Havana, Cuba, piramid-piramid di Mesir hinggalah ke Yellow Mountains di China, tetapi juga fikiran dan rasa pelukis mengenainya.
Turut hadir pada majlis perasmian pameran yang dibukakan kepada orang ramai hingga akhir Ogos itu ialah duta-duta dan perwakilan kedutaan luar negara di Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta para pengarah dan pemangku pengarah di bawah KKBS.