BEIJING, CHINA – Di Kota Larangan Beijing, suatu ketika dahulu merupakan istana yang tersergam kepada maharaja Ming dan Qing China serta ramai pengawal dan pelayan mereka, kini ramai pengunjung melawat istana itu dan memakai pakaian bersejarah sambil bergambar untuk dijadikan potret, mengikut fesyen berabad-abad yang lalu.
Ia merupakan fenomena yang dilihat di sekitar tapak warisan di seluruh China, diilhamkan oleh konvensyen buku komik dan keghairahan Jepun untuk watak cosplay, tetapi dengan dimensi bersifat nasionalistik dan budaya tambahan.
Walaupun kebenaran sejarah gaun dan jubah mungkin tidak dapat disahkan, mereka mendapat inspirasi daripada lukisan, teater dan seni Cina, terutamanya Qing, dinasti terakhir China yang terkenal dengan kemakmuran dan kemajuan budaya melalui perdagangan sutera dan porselin.
Dalam tempoh masa ini, China memperluas empayarnya dan seni serta lukisannya berkembang pesat, begitu juga pakaian dan tekstil. Lelaki dan wanita memakai jubah labuh sutera bersulam dan wanita pula memakai rambut palsu bertatahkan bunga, mutiara dan batu permata.
Dinasti Qing jatuh pada tahun 1911 dan selepas peperangan selama beberapa dekad, kuasa telah dirampas oleh Parti Komunis, yang berusaha untuk menghapus semua sisa-sisa masa lampau empayar China.
Dengan peninggalan fahaman Maoisme tegar dan kemakmuran yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kini sudah menjadi sesuatu yang biasa apabila melihat seisi keluarga memakai pakaian Dinasti Qing, sebahagian daripadanya adalah buatan sendiri, yang lain disewa daripada vendor di sesi penggambaran yang juga akan memberikan perkhidmatan dengan gaya rambut dan solekan.
Drama TV bersejarah yang popular dan kebangkitan media sosial telah mencetuskan budaya kegilaan, dan sementara ia tidak melibatkan lakonan semula pertempuran seperti yang popular di Amerika Syarikat dan Eropah, ia mencerminkan rasa hormat yang semakin meningkat terhadap sejarah China pada abad-abad sebelum pengambilalihan komunis.
Sesetengah peserta mencipta penampilan mereka berdasarkan watak-watak daripada novel, drama dan puisi sejak berabad-abad lalu.
Ramai orang datang berpusu-pusu dan berkumpul di sepanjang tembok dan parit indah yang mengelilingi bekas istana – kini sebuah muzium yang gemilang dengan pepohon weeping willow dan bertukar warna pada akhir musim panas dan awal musim gugur.
Kedua-dua jurugambar profesional dan amatur menawarkan sampel gambar mereka kepada keluarga dan pasangan suami isteri. Yang lain dalam kostum empayar bergilir-gilir mengambil gambar dengan kamera telefon mereka.
Sekumpulan pelajar dari Universiti elit Tsinghua meraikan penghujung semester mereka dengan gambar kostum.
Meskipun musim panas Beijing yang panas terik, keluarga, kawan dan pasangan bergambar sambil tersenyum, peluh menitis di dahi. Ia adalah aktiviti yang serius, memerlukan gaya gambar yang betul, peralatan prop yang sempurna dan sudut kamera yang ideal.
Dan apabila semuanya sudah siap, mereka kembali ke era lampau – berasa seperti kerabat diraja dan teruja menerokai alam fantasi – walau betapa singkat dengan orang lain sama seperti mereka sedang menjalani kehidupan biasa. – AP