PENYANYI Linda Rafar lega akhirnya dapat menunaikan janji untuk membuat lagu khas buat arwah anaknya, Memen menerusi lagu berjudul Satu Lagi.
Linda, 40, berkata dia sepatutnya merancang untuk merakam lagu bersama arwah namun hajat itu tidak kesampaian selepas Memen pergi menghadap Ilahi pada 5 Julai 2014 lalu.
“Sebenarnya arwah Memen yang nak sangat rakam lagu ketika dia masih hidup. Impiannya adalah untuk buat lagu bersama Zizan Razak dan Joe Flizzow.
“Bagaimanapun, keadaannya sewaktu sakit ketika itu tidak mengizinkan.
“Disebabkan itu, saya berjanji kepadanya untuk membuat lagu khas buatnya dan Alhamdullilah akhirnya impian itu terlaksana,” katanya.

Menurut Linda, lagu terbitan KRU itu adalah untuk memberi inspirasi kepada ramai pendengar di luar sana selain didedikasikan buat Memen.
“Tujuan utama saya mahu lagu itu diketengahkan adalah untuk menjadikannya sebagai inspirasi kepada mereka yang pernah merasa kehilangan orang tersayang. Saya berharap lagu ini dapat memberi sinar baharu buat mereka melupakan kesedihan,” katanya.
Linda juga memutuskan akan menjual lagu berkenaan menerusi penjualan cakera padat (CD) di platfrom sosial medianya nanti di samping mahu beramal.
“Saya akan menjual CD untuk lagu itu kelak namun bukan tujuan mengaut keuntungan untuk diri-sendiri semata-mata. Sebahagian hasil penjualannya kelak akan saya guna untuk disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Linda juga berkata dia bakal meneruskan kerjaya solonya sebagai penyanyi dan tidak merancang kembali bersama kumpulan Elite.
Menurutnya, keputusan itu dibuat atas dasar komitmen kepada keluarga dan tidak mahu menyusahkan anggota Elite yang lain kelak.
“Sekarang saya mahu lebih fokuskan kepada kerjaya solo di mana selain menyanyi, saya juga menulis novel selain memenuhi pelbagai undangan acara.
“Saya tidak mungkin akan kembali membikin lagu atau menganggotai semula Elite pada masa ini. Tidak mahulah nanti saya akan menyusahkan mereka dan memberikan komitmen yang teruk,” katanya. – Agensi