Abang ipar kepada pelakon Malaysia, Riezman Khuzaimi iaitu Rennie Abdul Ghani meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh di Toren, Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia kelmarin.
Menerusi ruang komen Facebook Hiking And Recreation around Malaysia (H.A.R.A.M), Riezman atau Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 55, memaklumkan pihak keluarga sedang menunggu pihak berkuasa Indonesia mengemas kini laporan sebelum membawa Allahyarham pulang ke tanah air.
“Al-Fatihah, kami sekeluarga sedang menunggu pihak berkuasa di sana untuk update bawa pulang ke Malaysia.
“Terima kasih atas doa semua buat abang ipar saya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pendaki warga Malaysia terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani kira-kira pukul 12 tengah hari Sabtu.
Pihak taman negara memberitahu, pendaki yang dikenali dengan inisial RAG itu dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip.
Allahyarham memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan oleh puluhan anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian Dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.
Usaha mStar mendapatkan kenyataan daripada Riezman tidak berhasil apabila panggilan dan mesej dihantar tidak dijawab. – Agensi
