KUCHING, 26 JUN – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkongsi formula keharmonian agama dan kaum negeri itu pada sesi libat urus Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) Zon Selatan di Auckland, New Zealand pada Isnin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak, beliau berkata formula itu perlu dikongsi dengan komuniti lain di luar negeri itu sebagai asas untuk mewujudkan dunia yang lebih baik dengan hubungan antara agama dan kaum yang sihat.
“Penghormatan mesti diberikan kepada kaum dan agama lain kerana ia hanya diperoleh dalam pembangunan agama dan kaum yang inklusif,” katanya pada sesi yang dihadiri anggota RISEAP dari Australia, New Zealand, Fiji, Papua New Guinea, Vanuatu, Tonga, New Caledonia dan Samoa Barat.
Lawatan Abang Johari ke New Zealand merupakan kunjungan pertama ke negara anggota sejak dilantik sebagai Presiden RISEAP Januari lepas.
Beliau berkata sebagai pemimpin beragama Islam yang ditugaskan untuk mentadbir dan membangunkan sebuah negara berbilang agama dan kaum, beliau bertanggungjawab untuk memastikan pentadbirannya adalah inklusif dan melindungi hak dan kepentingan semua kaum dan agama, berdasarkan lima prinsip ‘Maqasid Syariah’ di Sarawak.
Menurut beliau, menjadi kewajipannya untuk memastikan agama lain selain Islam diberi peluang selari untuk berkembang maju berdasarkan lima prinsip itu iaitu perlindungan nyawa, perlindungan harta, perlindungan kesihatan, perlindungan agama dan perlindungan maruah. – Bernama


