KUCHING, 15 OGOS – Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) perlu bekerjasama dengan tiga agensi negeri lain bagi memenuhi keperluan global dalam pengeluaran produk kayu daripada sumber boleh diperbaharui.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata gabungan kepakaran yang dimiliki oleh STIDC, bersama Jabatan Tanah dan Ukur, Pertanian dan Perhutanan akan membolehkan negeri itu mencapai piawaian atau standard global semasa dan masa hadapan.
“Saya berpendapat empat (agensi) ini yang perlu bekerjasama…tidak boleh bekerja secara berasingan atau bersendirian,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sambutan Jubli Emas STIDC di sini malam Isnin.
Walaupun negara pembeli perlu memenuhi syarat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang ditetapkan oleh pembiaya mereka, beliau berkata Sarawak sebagai pembekal perlu melakukan bahagiannya untuk memastikan syarat ini dipenuhi.
“Hari ini, pembeli mahu kita menanam pokok bagi memastikan keadaan sekeliling kekal hijau dan kita adalah antara penyumbang ke arah ekonomi hijau. Justeru, kita perlu berubah, menyesuaikan diri dengan permintaan dan situasi yang dihadapi dunia,” katanya. – Bernama