TENGGULUN, INDONESIA, 30 DIS – Seorang balu muda yang berada di mahkamah merenung lelaki yang membunuh suaminya dan 201 orang lain, dan ingin melihatnya menderita.
Semenjak malam yang mengerikan itu, apabila dia menyedari di tengah tubuh badan rentung dan serpihan membara bahawa bapa kepada dua orang anak lelakinya telah mati, Ni Luh Erniati menyimpan perasaan marah terhadap lelaki yang menjadi dalang pengeboman itu dalam hatinya.
Tetapi sekarang, perasaan itu tidak dapat dipendam lagi.
Dia cuba meluru di atas meja yang menyekat jalannya untuk memukul Amrozi Nurhasyim, yang tidak bersuara sepanjang perbicaraan berhubung serangan pengganas yang paling teruk di Indonesia sekali gus memberinya gelaran ‘The Smiling Assassin.’
Apa yang berlaku sepuluh tahun kemudian di antaranya dan abang Amrozi, lelaki yang telah mengajar Amrozi bagaimana membuat bom, tidak dapat dibayangkan pada masa itu.
Tidak dapat difikirkan bahawa mereka bersemuka dalam usaha untuk berdamai dan mencari nilai kemanusiaan di antara satu sama lain.
Namun di dalam mahkamah, dan tahun-tahun akan datang, Erniati mahu semua orang yang terlibat dengan pengeboman 2002 di pulau Bali, Indonesia menerima hukuman mati oleh skuad tembakan.
Dia juga mahu menjadi salah seorang yang akan melepaskan tembakan. – AP