KUALA LUMPUR, 25 SEPT – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kanak-kanak perempuan empat tahun yang lemas ketika mandi di kolam renang, di sebuah apartmen di Bangi, Selangor pada 13 September lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki berusia 26 tahun yang merupakan abang tiri kepada kanak-kanak itu ditahan di rumahnya, malam tadi susulan hasil pemeriksaan lanjut terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Rakaman CCTV itu hanya dapat diakses Sabtu lepas kerana sebelum ini terdapat masalah teknikal dan hasil penelitian rakaman itu, kelibat suspek dilihat berada di tepi kolam sedang leka melakukan sesuatu sambil melihat mangsa yang sedang lemas dalam kolam tanpa melakukan usaha menyelamatkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu lelaki berkenaan ditahan reman sehingga 30 September. Sebelum ini kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Mohd Zaid berkata dalam kejadian pada petang 13 September, polis menerima maklumat mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa ke Hospital Serdang dalam keadaan tidak sedarkan diri, dilaporkan lemas ketika mandi di kolam renang.
Kanak-kanak itu disahkan telah meninggal dunia pada pukul 1:11 tengah hari keesokannya dan susulan kematiannya, seorang pegawai perubatan di hospital berkenaan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada hari sama. – Bernama
