PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat, 28 Sept – Pemimpin Palestin, Mahmud Abbas membidas pentadbiran Trump semalam, enggan menerima pelan perdamaian ‘berat sebelah’ yang dijanjikan oleh Donald Trump sehari sebelum itu.
Presiden Pihak Berkuasa Palestin berusia 82 tahun itu menggunakan ucapan beliau di Perhimpunan Agung PBB untuk mengecam AS kerana menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin di Washington, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, memindah kedutaannya dan menghentikan bantuan kewangan Palestin.
Bercakap sehari selepas presiden AS, beliau menyokong penyelesaian dua negara untuk menamatkan konflik Israel-Palestin dan berjanji akan melancarkan pelan perdamaian baharu dalam tempoh beberapa bulan.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memuji tindakan Trump atas ‘sokongannya yang tidak berbelah bahagi’. Bagaimanapun, Abbas berkata Trump telah kehilangan haknya untuk dianggap sebagai broker neutral.
“Kami juga tidak akan menerima satu-satunya perantaraan Amerika dalam proses perdamaian,” kata beliau, menuduh bekas jutawan hartanah itu sebagai bersikap ‘berat sebelah’ terhadap Israel sejak menerajui tampuk pentadbiran pada Januari 2017.
“Dengan kesemua keputusan ini, pentadbiran telah memungkiri kesemua komitmen AS sebelum ini, malah menjejas penyelesaian dua negara,” beritahu Abas kepada badan dunia dalam ucapan selama 40 minit.
“Adalah pelik pentadbiran Amerika masih bercakap mengenai apa yang digelar oleh mereka sebagai ‘perjanjian pada abad ini’.
Pemimpin Palestin telah lama melihat pentadbiran Trump sebagai bersikap berat sebelah, menyokong Israel dan berusaha memeras ugut mereka untuk menerima syarat-syarat mereka.
Pemimpin Palestin memutuskan hubungan dengan Rumah Putih setelah Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember lalu dan juga memotong lebih daripada AS$500 juta dalam bantuan kepada Palestin.
“Daripada platform pada bulan Ogos, saya memperbaharui seruan saya kepada Presiden Trump supaya membatalkan keputusan dan arahan beliau demi menyelamatkan prospek perdamaian,” kata Abbas. – AFP