Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abbas selar duta AS ke Israel

    RAMALLAH, 30 Mac – Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, kelmarin telah menyelar kenyataan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, David Friedman, yang disifatkan sebagai ‘campur tangan’ dalam hal ehwal dalaman Palestin, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan agensi berita WAFA.

    “Kenyataan David Friedman terhadap Abbas dan kepimpinan Palestin adalah memeranjatkan serta tidak boleh diterima,” kata pembantu Abbas, Nabil Abu Rudeineh, dalam satu kenyataan.

    Agensi rasmi Palestin itu memetik Abu Rudeineh sebagai berkata “Palestin tidak akan menerima campur tangan mana-mana pihak asing tanpa mengira siapa mereka.”

    Friedman dilaporkan telah menghantar satu mesej berbentuk ancaman kepada Abbas bahawa jika beliau (Abbas) tidak bersetuju mengadakan rundingan damai dengan Israel, Washington akan mencari alternatif lain dari Palestin untuk mengisi vakum itu.

    “Nampaknya beliau bercakap bagi pihak Israel berbanding AS, selain meletakkan dirinya dalam kedudukan yang mempertahankan Israel dan peneroka haram.

    “Friedman tidak mewakili kepentingan AS, sebaliknya beliau mewakili satu mentaliti yang hanya akan meningkatkan ketegangan dan merosakkan imej rakyat AS,” kata Abu Rudeineh.

    Pembantu Abbas itu berkata mentaliti sebegini memberi manfaat kepada kepentingan peneroka haram ektremis yang mewujudkan mentaliti Daesh seperti ektremisme dan keganasan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda