PELAKON Abby Abadi geram dengan sikap segelintir warganet yang cuba mencampuri urusan peribadinya termasuk menasihatinya tentang perkahwinan anak perempuannya iaitu Marissa Dania.
Apa lebih membuatkan Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 48, berang apabila dia turut dipersalahkan dengan semua hal berkaitan dengan anaknya itu, menurut laporan mStar.
“Orang cerita lain, dia (warganet) cerita lain, selepas itu sibuk nak nasihatkan orang. Sibuk juga nak uruskan hidup dan menyalahkan orang lain.
“Beli cermin! tengok diri tu, sudah lah menyorok di sebalik akaun palsu, ingat Allah tahu,” katanya.
Abby meluahkan perkara itu menerusi hantaran di aplikasi Thread miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, kata Abby dia cuba menjauhkan diri daripada warganet yang berperangai toksik dengan menyekat akaun-akaun tersebut.
Malah pelakon drama Gerak Khas itu juga menyesal apabila bertindak melayan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
“Alhamdullillah, block orang itu benda paling seronok nak buat sebab tak suka dengan manusia-manusia toksik.
“Kadang balas sebab geram, tapi bila dilayan macam kesilapan besar pula sebab toksik dia sekali bebal,” ujarnya.
Pada Selasa, Abby meluahkan rasa hairan apabila ada pihak yang memintanya memohon maaf kepada madu Marissa, 20, iaitu Umisya Mazlan.
Bagaimanapun Abby mempersoalkan permintaan itu sebaliknya meminta menantunya iaitu Ahmad Aslam perlu datang memohon maaf kepadanya.
Untuk rekod, Marissa bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember 2023. Manakala Aslam dan Umisya mendirikan rumah tangga pada Julai 2020.
Pasangan ini pernah bercerai pada September 2023 sebelum kembali rujuk ketika dalam tempoh idah.
Hasil perkahwinan tersebut, Aslam dan Umisya dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Hud, 4, Nuh, 3 dan seorang bayi perempuan yang kini berusia dua bulan. Manakala bersama Marissa pasangan ini belum dikurniakan anak. – Agensi
