Sunday, July 27, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abby Abadi nak sangat jadi ‘Erra Fazira’

    Berkongsi pengalaman awal pembabitan dalam dunia seni, pelakon dan penyanyi Abby Abadi memberiahu aktres Erra Fazira adalah individu yang banyak memberi pengaruh buatnya.

    Mengagumi lakonan Erra sejak remaja, kata Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 48, dia sudah lama memasang impian untuk bergelar artis seperti idolanya itu.

    Malah dia sanggup menonton filem lakonan Erra berjudul Sembilu berulang kali di pawagam.

    “Saya pernah beritahu Erra antara sebab berminat nak jadi artis kerana mahu jadi seperti Erra Fazira. Pengaruh awal paling kuat dalam kehidupan saya adalah filem Sembilu. Enam kali saya pergi tengok dekat pawagam walaupun duit tidak berapa nak ada ketika itu,” katanya.

    Abby menulis perkara tersebut di Instagram miliknya pada Sabtu berserta beberapa keping gambar mereka bersama dalam satu majlis.

    Bukan hanya daripada segi lakonan, gaya hidup Erra juga menjadi ikutan Abby ketika dia remaja.

    “Rajinlah saya berangan nak sentiasa cantik. Gigih beli majalah hiburan sebab minat dan sentiasa mengikuti segala yang berkaitan Erra.

    “Sebab itu saya tahu Erra pakai toner dari muda. Jenama apa pun saya tahu,” ujarnya.

    Berkongsi lanjut, Abby turut mengenang semula ketika dia hanya menjadi pelakon tambahan dan menerima bayaran tidak seberapa.

    “Tahun 1995 atau 1996 masa sibuk nak jadi artis. dapatlah (berlakon) watak tambahan filem Datuk Yusof Haslam. Seharian meramaikan babak dalam disko. Tahu dapat berapa? Pilu nak sebut. (Ia jadi) pengalaman berharga yang mendewasakan.

    “Nak sangat jadi artis Allah izinkan. Nak jadi Erra Fazira, dapat juga berlakon dengan dia. Banyak kenangan indah bersama,” jelasnya.

    Abby dan Erra pernah digandingkan dalam filem Pasrah pada tahun 2000 dan Gerak Khas The Movie pada 2001.

    Abby dan Erra pernah bergandingan dalam filem Gerak Khas The Movie.  – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda