Pelakon dan penyanyi Abby Abadi hilang sabar apabila sebuah syarikat tekstil didakwa gagal menyiapkan tempahan tudung bagi perniagaan anak perempuannya, Marrisa Dania Hakim mengikut tempoh yang ditetapkan.
Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 48, berkata, sebelum ini pihaknya dimaklumkan proses menyiapkan tempahan itu dilakukan selama dua minggu namun selepas dua bulan hasil produk yang dijanjikan itu masih tiada, menurut laporan mStar.
Kata Abby, syarikat tekstil tersebut mahu membayar semula wang deposit yang dibuat sebanyak RM9,900 tetapi pelbagai alasan diterima.
“Saya akan padam hantaran ini bila dah selesai, hilang sabar sebab banyak sangat alasan. Saya perlu dapatkan bayaran balik dari sebuah syarikat tekstil sebab pesanan tudung saya dekat dua bulan tak siap-siap dengan pelbagai alasan.
“Konon kata bayar penuh dua minggu siap, ini nak dekat dua bulan dah. Lepas itu bila kita bising dia kata nak bagi bayaran balik, suruh kita pula tunggu sampai 15 hari. Saya tak boleh tunggu dah,” katanya.
Abby berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya.
Menerusi butiran lanjut yang turut dikongsi, Abby sedang menuntut bela untuk perniagaan tudung yang diusahakan oleh anak perempuannya iaitu Marissa Dania.
Dia juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya masih tiada tindakan lanjut dibuat.
“Dengan anak saya pihak awak (wakil syarikat) beri surat, proses refund 40 hari? Dengan saya kata kena tunggu 15 hari?
“Mana satu ni? Tak mengapalah saya tunggu akaun kena beku ya. Kita minta campur tangan polis,” ujarnya.
Sementara itu, Abby mendakwa syarikat tekstil tersebut mempunyai rekod buruk yang juga pernah menipu pelanggan lain sebelum ini. – Agensi


