Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 17 SEPT – Pasukan ABC FT dari Negara Brunei Darussalam mencatat kemenangan bergaya 5–1 ke atas PKS FT dari Miri, Sarawak dalam penampilan sulung mereka di pentas persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Padang Bola Sepak Universiti Curtin, Miri, pada 14 September lalu.
Kejayaan itu bukan sahaja menjadi pencapaian penting buat ABC FT, malah turut menjadi peluang bagi pasukan berkenaan untuk memperkukuhkan ukhuwah serta menjalin hubungan erat dengan pasukan negeri jiran yang sama-sama berkongsi minat dalam sukan bola sepak, di samping mengekalkan semangat kesukanan dan persaingan sihat.
Bagi memperingati perlawanan tersebut, wakil daripada kedua-dua pasukan turut bertukar-tukar cenderamata berupa bendera kecil sebagai tanda penghormatan, dengan kedua-dua pasukan menzahirkan harapan untuk bertemu lagi pada perlawanan akan datang.


