Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Dalam usaha berterusan untuk memberikan kefahaman mengenai perkhidmatan berkaitan Kawalan kemajuan dan industri Pembinaan amnya, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, Kementerian Pembangunan akan mengadakan program Build Brunei Talk Series kali kedua bagi tahun 2024 bermula pada 20 Mei 2024 ini.
Program yang akan berlangsung selama empat hari di Dewan Indera Pahlawan, ABCi dari pukul 8:45 pagi sehingga 12:00 tengah hari itu dibukakan kepada orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan industri pembinaan.
Dengan adanya program tersebut, ianya memberikan peluang kepada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat sama dalam proses pembinaan mahupun terlibat dalam industri Pembinaan untuk membentangkan keperluan-keperluan permohonan mahupun isu-isu semasa yang dihadapi oleh orang ramai, pemilik perniagaan mahupun Syarikat-syarikat berkepentingan industri pembinaan.
Selain itu, ianya juga dihasratkan dapat mengeratkan kerjasama antara agensi kerajaan dan ‘industri players’ serta memupuk semangat kerjasama, profesionalisme dan muhibbah dalam kalangan mereka.
Antara lain tema yang akan dibentangkan kali ini mengetengahkan keperluan-keperluan komersil, perkara yang perlu diambil kira bagi memulakan perniagaan, pembelian hartanah dan banyak lagi.
Orang ramai juga boleh mendapatkan pencerahan mengenai maklumat proses permohonan yang diperlukan seperti kebenaran kemajuan, Kesiapan Kemajuan (OP) dan pendaftaran Lesen Pembina.