BANDAR SERI BEGAWAN, 2 April – Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan telah mengeluarkan buku Piawaian Brunei Darussalam 12: 2017 Building Guidelines and Requirements sebagai pindaan kepada edisi 2014.
Edisi baru ini memuatkan penyelarasan keperluan kawalan kemajuan dengan keperluan Perintah Kawalan Bangunan 2014 serta bagi menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai melalui kawalan kemajuan pembangunan.
Menurut kenyataan ABCi, ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memudahkan lagi proses mendapatkan kebenaran perancang dan seterusnya kebenaran kemajuan sehingga kebenaran kesiapan kemajuan, yang mana telah dikemaskinikan kepada enam langkah iaitu mendapatkan kebenaran perancangan dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD); mendapatkan kebenaran kemajuan dari ABCi; mendapatkan kebenaran memulakan kemajuan dari ABCi; memohon tarikh pemeriksaan tapak dari ABCi; pemeriksaan tapak dari ABCi dan mendapatkan kebenaran kesiapan kemajuan dari ABCi.
Adalah juga dimaklumkan permohonan bagi kerja tanah, tambahan atau ubahsuai rumah/bangunan termasuk unit kedai tidak perlu dihadapkan ke JPBD kecuali jika kemajuan melibatkan ‘Change of Use’.
Di samping itu, kesemua permohonan berkaitan dengan kemajuan termasuk cadangan untuk membangun rumah atau bangunan, tambahan atau ubahsuai rumah atau bangunan, termasuk unit kedai, hanya boleh dibuat oleh orang berkelayakan yang dilantik oleh pemilik tanah atau pemaju.
Bagi kemajuan kerja tanah seperti menimbuk, meratakan, meruntuh dan ‘site clearing’ serta penyediaan pelan struktur rumah atau bangunan pula perlu melantik jurutera profesional yang berdaftar untuk melukis pelan cadangan terlebih dahulu sebelum menghadapkan permohonan ke ABCi bagi kebenaran kemajuan.
Buku edisi 2017 ini boleh diperoleh di ABCi, Tingkat 1, Bangunan Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Jalan Landasan Lama, BB3510, Kementerian Pembangunan pada hari Isnin hingga Khamis dari jam 8 hingga 11 pagi dan 1:30 petang hingga 3 petang.