KHARTOUM, 3 JAN – Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin berikutan krisis politik negara itu, lapor Xinhua.
“Saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri untuk memberi laluan kepada warga lain daripada negara ini,” kata Hamdok dalam ucapannya menerusi siaran televisyen rasmi Sudan.
“Anda telah memberikan penghormatan kepada saya menjadi perdana menteri dan saya telah berusaha sedaya upaya menghalang negara ini daripada terjerumus dalam bencana,” katanya.
“Di bawah perbezaan politik dan konflik nihilistik antara semua komponen peralihan, saya telah lakukan pelbagai cara untuk mencapai kata sepakat (konsensus) yang diingini dan perlu… ia tidak berlaku,” tambahnya.
Hamdok menekankan pentingnya memulakan dialog secara menyeluruh bagi menamatkan krisis politik di negara itu. – Bernama