Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ABDB anjur acara sukan jalin silaturahim

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Dalam sambutan yang menggabungkan semangat berbasikal dan larian bagi memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan silaturahim antara keluarga, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-62 telah mengadakan acara Ekspedisi Berbasikal, Kejohanan Larian Berkumpulan, Kayuhan Bersama Keluarga, Fun Walk dan Hari Keluarga yang dibukakan kepada semua pegawai, anggota-anggota serta ahli keluarga ABDB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan bersama isteri, Datin Ummisyafinah binti Haji Zaini.

    Turut diundang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.

    Acara dimulakan dengan pelepasan Ekspedisi Berbasikal sejauh 62 kilometer (km) yang dilancarkan oleh Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUBD), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim; diikuti oleh pelepasan Larian Berkumpulan Lelaki sejauh 16.2km oleh Pemangku Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Kolonel Muhammad Wata bin Abdullah Awat; dan Larian Berkumpulan Wanita sejauh 12.6km oleh Ketua Unit Inspektorat ABDB, Kolonel Dayang Suriyati binti Haji Junaidi.

    Acara diikuti dengan Kayuhan Bersama Keluarga sejauh 12km yang diketuai oleh Pemerintah ABDB dan kemudiannya Fun Walk sejauh 2.6km yang diketuai oleh isteri Pemerintah ABDB.

    Sejurus tiba di Bolkiah Garison, Pemerintah ABDB bersama isteri turut berkunjung melawat Muzium ABDB, funfair dan gerai-gerai bazar ke arah usaha menggalakkan kutipan derma kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin.

    Seterusnya, Pemerintah ABDB dijemput beredar ke Padang Bola Mini Stadium untuk sesi bergambar ramai bersama para peserta Ekspedisi Berbasikal sejauh 62km dan penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang Kejohanan Larian Berkumpulan Kategori Lelaki dan Wanita.

    Pemerintah ABDB bergambar kenangan bersama para pegawai dan anggota yang hadir bagi sama-sama memeriahkan acara tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda