Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Majlis Penyerahan Projek Titian Amal yang memberikan tumpuan kepada pembaikan Balai Ibadah Kampung Saba sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-63 yang berlangsung di tapak Projek Titian Amal di Balai Ibadah Kampung Saba, Mukim Saba, Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, hari ini, majlis itu menandakan sempurnanya inisiatif-inisiatif aktiviti kemasyarakatan tahun ini.
Majlis penyerahan projek disempurnakan oleh Timbalan Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Lumapas, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin; pemangku pegawai Daerah Brunei dan Muara, pengarah Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dan pemangku pengarah hal ehwal masjid, pegawai-pegawai kanan ABDB dan Kementerian Pertahanan, pemangku penghulu Mukim Saba serta syarikat-syarikat penaja iaitu Syarikat Adinin dan Anak-anak Sdn Bhd serta OSCO Sdn Bhd.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Staf Timbalan Pegawai Turus Gerakan dan Dakwah Agama, Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Kapten Nasyrul Wafiy bin Mahdin.
Majlis diteruskan dengan Pengerusi Projek Titian Amal Balai Ibadah Kampung Saba, Mejar (U) Abdul Haqim bin Haji Yahya menyampaikan taklimat komprehensif mengenai laporan kemajuan yang menggariskan pelaksanaan projek.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif kemudiannya menyerahkan plak cenderahati kepada Ketua Imam Balai Ibadah Kampung Saba dan seterusnya, menyampaikan tanda penghargaan kepada para penaja bagi mengiktiraf sokongan besar serta sumbangan berharga mereka dalam menjayakan projek ini.
Projek Titian Amal ialah inisiatif tahunan aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan sempena Hari Ulang Tahun ABDB.
Projek itu mencerminkan dedikasi ABDB untuk mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat dan mempromosikan kesejahteraan sosial melalui kesukarelawanan.
Di samping itu, inisiatif itu juga diharap dapat memupuk kerjasama antara anggota ABDB, agensi-agensi kerajaan, pihak-pihak berkepentingan dan penduduk tempatan dalam membuktikan komitmen berterusan ABDB terhadap kebajikan masyarakat dan perpaduan sosial.