Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), hari ini, telah melancarkan tadarus Al-Quran sebagai memperingati Sambutan Jubli Intan Hari Ulang Tahun ABDB, diadakan di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat yang merasmikan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.
Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersama, Brigedier Jeneral Haji Abdul Razak bin Abdul Kadir, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota ABDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Baqarah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebelum diakhiri dengan Solat Asar berjemaah yang diketuai oleh Imam Surau Ad-Difa’, Awang Suhif @ Syu’aib bin Haji Abdullah.
Majlis serupa juga telah diadakan serentak di kesemua surau ABDB.
Selain untuk meraikan sambutan Jubli Intan Hari Ulang Tahun ABDB, acara berkenaan juga bertujuan untuk memartabatkan pembacaan dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.
