Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ABDB perlu berkembang lebih terarah

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Dalam usaha memastikan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) terus berkembang lebih terarah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melancarkan dasar pertahanan dan blue print keupayaan ABDB.

    “Untuk melihat ABDB sentiasa melangkah ke hadapan, maka sempena hari ulang kahun ke-60 penubuhannya, Beta dengan sukacita memperkenankan pelancaran Kertas Putih Pertahanan 2021 serta perancangan perkembangan keupayaan masa panjang ABDB dinamakan Force 2035,” titah Baginda pada Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Jubli Intan ABDB di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara hari ini.

    Baginda menekankan, arus perubahan dan landskap strategik dihadapi ABDB sejak penubuhannya menampilkan pelbagai cabaran tradisi dan bukan tradisi seperti berdiri teguh membantu kerajaan membendung pandemik koronavirus.

    “Usia enam dekad penubuhan ABDB amatlah bermakna selaku sebuah institusi pertahanan yang dalam masa itu, ABDB sentiasa bersedia memelihara keamanan dan kedaulatan negara serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan yang terserlah pada penampilan perbarisan raksasa ini.

    “Mengambil sukut yang bersejarah ini dan juga sebagai tanda pengiktirafan terhadap segala pencapaian ABDB selama ini, maka Beta dengan amat sukacita mengurniakan pingat Jubli Intan kepada anggota-anggota ABDB termasuk sebilangan mantan pemimpin yang terlibat secara langsung dalam perancangan dan perkembangan ABDB,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan memeriksa perbarisan kehormat pada Sambutan Jubli Intan ABDB di ibu negara. – Gambar oleh Infofoto

    Dalam titah itu, Baginda juga menekankan bahawa ADBB yang merupakan sebuah pasukan dalam jumlah yang masih kecil, perlu juga memanfaatkan aplikasi teknologi dalam usaha meningkatkan keupayaannya.

    “Pengenalan Unmanned Aerial System (UAS) dalam masa terdekat ini adalah salah satu contoh pendekatan teknologi yang menjurus pada peningkatan keupayaan atau force multiplier.

    “Pengenalan keupayaan seperti ini di samping dapat mengukuhkan pertahanan negara, secara langsung juga mampu untuk meningkatkan kemahiran ABDB dalam penggunaan teknologi,” tegas Baginda.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengingatkan agar ABDB sentiasa sensitif dan responsif terhadap perkembangan semasa termasuk ancaman keselamatan daripada manfaat teknologi yang diterima dunia iaitu serangan siber.

    “Oleh itu, Beta berharap penubuhan Cyber Defence Unit akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan menangani ancaman dan sekali gus memperkukuhkan pertahanan siber,” tekan Baginda.

    Selain daripada keupayaan tentera dan siber, Baginda Sultan juga yakin bahawa sumber tenaga manusia merupakan tonggak utama dalam angkatan bersenjata.

    “Oleh itu, sangatlah penting bagi ABDB mempunyai anggota-anggota yang berkualiti yang mengamalkan empat nilai teras ABDB iaitu profesional, setia, berani dan takwa.

    “Maka dengan ini, Beta sukacita memperkenankan bagi Jabatan Agama ABDB (JAMAAT) untuk dinaiktarafkan daripada peringkat unit ke peringkat jabatanarah,” titahnya.

    Menyentuh mengenai kerjasama serantau, Baginda Sultan melahirkan kegembiraan dengan usaha Kementerian Pertahanan dan ABDB dalam mengekalkan Diplomasi Pertahanan dan kerjasama serantau dalam rangka kerja ASEAN, terutama pada masa negara menjadi tuan rumah ASEAN pada tahun ini, khususnya di bawah Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Mesyuarat Ketua-ketua Angkatan Pertahanan ASEAN (ACDFM).

    “Beta juga berharap agar inisiatif ASEAN Military Exercise (AMX) yang telah dipersetujui semasa Persidangan ACDFM baru-baru ini dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat.”

    “Dalam kesempatan ini, Beta juga ingin menzahirkan rasa bangga terhadap penglibatan ABDB dalam misi-misi pengaman dan pemantau melalui United Nations Interim Force in Lebanon, International Monitoring Team and International Decommissioning Body di Republik Filipina serta penugasan di dalam Information Fusion Centre dan Counter Terrorism Information Facility di Republik Singapura.”

    Penglibatan tersebut merupakan komitmen berterusan negara dalam meningkatkan keselamatan serantau dan antarabangsa, tekan Baginda.

    Di penghujung titahnya, Baginda Sultan mengucapkan tahniah kepada seluruh warga ABDB sama ada di dalam atau luar negara, yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.

    “Syabas kepada mereka yang menyertai perbarisan pagi ini dan seluruh ahli Jawatankuasa serta semua yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Ulang Tahun Jubli Intan ABDB.

    “Beta berdoa semoga kita semua sentiasa dalam iman dan perlindungan Allah SWT. Tidak lupa juga dirafakkan doa untuk anggota-anggota yang telah kembali ke rahmatullah, semoga roh-roh mereka sentiasa di dalam rahmatNya. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.”

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda