Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ABDB rai 33 pegawai tamat kursus

    Gambar serahan ABDB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Seramai 33 orang pegawai telah menamatkan Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sesi ke-11 pada hari ini dan diraikan pada majlis penutup yang julung kalinya berlangsung secara dalam talian.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Mujadilah ayat 11 dan 12 oleh salah seorang peserta kursus luar negara, Mejar Muhammad Mushawwir bin Che Azuha dari Tentera Darat Malaysia, yang merupakan juara bagi Musabaqah Tilawah Al-Quran di Peringkat Tentera Darat Malaysia pada 2018 dan 2019 serta meraih tempat kedua bagi Perlawanan Tilawah Al-Quran di Peringkat Angkatan Tentera Malaysia pada 2019.

    Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Komandan Akademi Pertahanan ABDB, Leftenan Kolonel (U) Azmie Iskandar bin Ariffin diikuti dengan ucapan oleh tetamu kehormat. Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada para peserta kursus kerana telah berjaya melalui kursus yang cukup mencabar selama 40 minggu tersebut dilaksanakan dalam norma baharu dan menekankan adaptasi adalah sebagai salah satu kunci utama dalam melalui perubahan dan cabaran yang ditimbulkan oleh wabak COVID-19.

    Beliau juga menyampaikan ucapan penghargaan atas kerjasama dan usaha berterusan antara Akademi Pertahanan ABDB dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam memastikan modul akademik kursus tersebut tetap relevan dengan keadaan semasa dan menghargai kejayaan dalam pengendalian modul Perancangan Operasi (Operational Planning) yang telah disampaikan sepenuhnya secara dalam talian.

    Dengan tamatnya kursus ini, Yang Berhormat Pehin menekankan kepentingan bagi semua peserta kursus untuk berfikir secara kritikal dan inovatif dalam menangani perkara-perkara yang kompleks yang timbul dari segenap dimensi, dan mengamalkan emotional honesty sebagai persiapan bagi menjawat jawatan dan tanggungjawab yang lebih besar di masa akan datang.

    Kenyataan menyatakan, seperti tahun-tahun sebelumnya, sijil kursus dan beberapa anugerah penghargaan diberikan kepada peserta-peserta Kursus Maktab Turus. Pada tahun ini, peserta-peserta kursus menerima sijil kursus secara dalam talian diikuti dengan pengumuman pemenang-pemenang anugerah.

    Mejar Ho Jin Peng dari Angkatan Bersenjata Republik Singapura telah menerima Anugerah RBAF CSC Overall Excellence dan Anugerah Academic Excellence. Mejar (U) Arif Shamirul daripada Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) menerima Anugerah RBAF Commendation Award, manakala Mejar (U) Wan Muhammad Azem bin Haji Mohd Aminuddin dari TUDB menerima Anugerah Commandant’s Award.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bersama pegawai lain pada majlis yang berlangsung secara maya kelmarin.
    Gambar ramai peserta bersama sijil diterima.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda