ABDB raikan 119 anak-anak yatim

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Dalam semangat mengimarahkan lagi bulan suci Ramadan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini telah menghulurkan sumbangan kepada 119 anak-anak yatim daripada 61 buah keluarga bekas anggota ABDB yang akan dijalankan sehingga 22 Mei ini.

Sehubungan itu, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud telah berkunjung ke tiga buah kediaman di Daerah Brunei dan Muara untuk menyampaikan sumbangan tersebut kepada para penerima, pagi tadi.

Kunjungan tersebut, yang merupakan sebahagian daripada Program Sentuhan Kasih Ramadan acara kebajikan tahunan ABDB, melibatkan 58 buah keluarga yang telah menerima sumbangan tersebut daripada wakil-wakil Pemerintah ABDB hari ini.

ABDB mengungkayahkan acara berkebajikan ini se-tiap tahun pada setiap bulan Ramadan untuk mengenang jasa bakti warga ABDB yang telah kembali ke rahmatullah disamping meraih pahala serta keredaan Allah SWT.

Walau bagaimanapun, pada tahun ini, dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara, pengagihan derma dilakukan dengan cara yang berbeza dari tahun-tahun sebelumnya sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi kebajikan pihak-pihak yang terlibat serta bagi membendung penularan wabak.

Sumbangan yang disampaikan merupakan hasil kutipan daripada Tabung Kebajikan ABDB, anggota-anggota ABDB, Tabung Surau ABDB, Koperasi ABDB (KOWIRA), Badan Kebajikan Isteri-isteri ABDB (BAKTI) dan penderma-penderma perseorangan.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan ketika berkunjung ke salah sebuah kediaman di Daerah Brunei dan Muara bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima.
Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan ketika menyerahkan sumbangan kepada penerima.